Kota Kinabalu: Sistem Audio di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dinaik taraf kepada sistem digital dengan kos kira-kira RM3.5 juta.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ir Ali Ahmad Hamid, berkata kos itu merangkumi kerja menukar sistem analog yang ada sekarang dan pemasangan peralatan audio digital.
Katanya, proses naik taraf itu perlu dilaksana selaras dengan perubahan semasa yang mana kebanyakan dewan persidangan termasuk untuk acara rasmi kerajaan kini mengunakan sistem audio digital.
“Sudah tiba masanya sistem audio sedia ada yang digunakan sejak 2008 dinaik taraf kepada sistem audio digital bagi mendapatkan kesan bunyi yang lebih jelas ketika dewan sedang bersidang,” katanya selepas meninjau Pusat Audio DUN Sabah, semalam.
JKR Sabah ditugaskan menjaga sistem audio ketika DUN bersidang dengan membabitkan antara enam hingga lapan orang petugas termasuk membuat rakaman secara langsung dan memuat naik di media sosial DUN dan YouTube.
Ir Ali Ahmad berkata ketika ini pihaknya terpaksa menggunakan sistem analog sedia ada dengan mengubah suai dan menambah beberapa peralatan digital bagi memastikan sistem audio tidak terjejas ketika perbahasan berlangsung.
Selain itu, katanya kakitangan yang ditugas terpaksa turun naik ke dalam dewan untuk memastikan sistem audio berfungsi dengan baik sebelum persidangan bermula.
“Cara ini tidak begitu efektif kerana mengubah suai sistem analog kepada digital secara berperingkat akan memakan kos yang tinggi bagi membeli peralatan audio digital walaupun peralatan yang dibeli kecil tapi harganya terlalu tinggi, justeru pilihan terbaik kita tukar secara keseluruhanya sistem analog yang ada kepada sistem digital,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya dan bersetuju agar sistem audio sedia ada dinaik taraf kepada sistem audio digital setanding dengan sistem audio yang terdapat di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Bagi menaik taraf sistem audio digital itu, Ir Ali Ahmad berkata ia dianggarkan menelan kos RM3.5 juta.
“Pihak kami (JKR) akan mengemukakan kertas kerja dan anggaran kos yang diperlukan secepat mungkin kepada Speaker DUN untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau menambah, selain itu beberapa cadangan lain dalam kerja menaik taraf sistem audio DUN termasuk pemasangan video digital dan skrin TV yang diletakkan di kerusi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kemudahan ketika bersidang.
-Deasoka