Kota Kinabalu: Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB) meneruskan usaha untuk menyegerakan pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir walaupun berhadapan cabaran untuk memasuki kawasan terbabit.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata kerja membaik pulih dilaksanakan pasukan teknikal SESB dan kontraktor yang dilantik.
Katanya, kerja pemulihan tertumpu kepada pembaikan talian elektrik dan tiang tumbang akibat banjir beberapa hari lalu di sekitar pantai barat Sabah.
“Usaha membaik pulih mengambil sedikit masa kerana pasukan teknikal SESB berdepan dengan laluan berlumpur tebal dan licin.
Pasukan teknikal SESB berdepan cabaran seperti lumpur tebal melaksanakan kerja pembaikan di kawasan terjejas banjir.
“Ada sebahagian tempat tidak dapat dilalui kenderaan menyebabkan pasukan teknikal terpaksa berjalan kaki dengan membawa peralatan baik pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Idris turut menjelaskan pemulihan bekalan di beberapa kampung di Penampang mengambil sedikit masa memandangkan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Ada beberapa rumah di Kampung Sugud yang belum dapat disambung bekalan kerana tiang elektrik tumbang ke kawasan paya dan usaha pemulihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan keadaan tanah yang masih basah dan lembut,” katanya.
Beliau berkata, usaha pemulihan akan dilakukan apabila keadaan selamat dan penutupan bekalan dilakukan bagi tujuan keselamatan.
Dalam pada itu, katanya SESB turut bertindak atas aduan penduduk Kampung Tabor di Manggatal yang menyatakan kebimbangan mengenai keadaan tiang elektrik yang condong.
“Tiang berkenaan akan dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Idris menasihati pengguna dan orang awam supaya tidak mengalihkan wayar atau kabel yang jatuh kerana dikhuatiri masih mengalirkan arus elektrik dan boleh menyebabkan renjatan elektrik apabila disentuh.
-Deasoka