KOTA KINABALU: Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCENIC) mengambil inisiatif membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja dalam kalangan graduan di Sabah.
Ketua Pemaju Industri dan Ekosistem SCENIC, Almizar Amil Hamzah, berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
Katanya, SCENIC akan membantu mempromosikan Program Pembangunan Profesional ILTIZAM (PDP ILTIZAM) yang dibangunkan Ekuinas untuk menggalakkan graduan di Sabah menyertainya.
“SCENIC akan membantu mempromosikan program ini kepada graduan di Sabah secara dalam talian dan luar talian, termasuk melalui media sosial kita.
“Sebagai tambahan, kita juga membantu syarikat di Sabah untuk mendaftar menjadi rakan Ekuinas supaya graduan ada pilihan untuk bekerja di Sabah berbanding berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, inisiatif seumpana itu juga akan diperluaskan ke institusi awam dan swasta yang lain pada masa depan.
Langkah itu, katanya seiring dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengekalkan tenaga kerja tempatan di Sabah.
Beliau berkata, SCENIC berharap graduan dari Sabah dapat memperbaiki kebolehpasaran kerja masing-masing dengan mendaftar dalam program berkenaan bagi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan.
Katanya, ia membolehkan graduan menjadi profesional serba boleh atau mungkin menjadi usahawan pada masa hadapan melalui pendedahan ketika bekerja dengan syarikat yang pesat berkembang dalam persekitaran keusahawanan.
“Sejak tahun lalu dunia dilanda Covid-19, menyebabkan ekonomi Malaysia merosot dengan teruk dan turut mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, selain pengangguran dalam kalangan graduan.
“Ia menyebabkan pengangguran di negara ini meningkat kepada 718,100 orang pada 2020, seperti dimaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia. Mereka yang baru memasuki pasaran buruh, khususnya graduan yang baru menamatkan pengajian juga tidak terkecuali,” katanya.
Pada 2020, dianggarkan terdapat seramai 5.36 juta graduan di Malaysia, meningkat 4.4 peratus berbanding 5.13 juta orang pada 2019.
Bagaimanapun, Almizar berkata peningkatan pengangguran bukan disebabkan kurang kelayakan tetapi lebih kepada industri yang tidak menyediakan peluang mencukupi disebabkan kekangan kewangan ketika pandemik.
“Ketika pandemik, kita berharap untuk mengurangkan beban graduan menganggur di Sabah dengan memberi mereka peluang diambil bekerja dengan gaji RM2,500 sebulan dan pengalaman kerja yang diperlukan untuk pembangunan kerjaya mereka pada masa depan.
“Oleh itu, kita perlu lakukan apa saja untuk mempromosikan pekerjaan bentuk baharu, syarikat baharu yang inovatif dan pemula graduan pasca pandemik dengan meliberalisasikan pasaran, menggalakkan keusahawanan, meluaskan peluang dan menjadikan perniagaan sederhana, kecil dan mikro lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, berkata sejak tahun lalu, kebanyakan latihan awal pekerjaan dikendalikan secara maya disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk mengekang penularan COVID-19.
Katanya, ketika ini program PDP ILTIZAM Ekuinas mendapat sokongan sebuah syarikat portfolio iaitu Cosmopoint Centre di Kota Kinabalu yang menawarkan penempatan pekerjaan kepada graduan Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Hizwani berharap lebih ramai peserta dari Sabah dan Sarawak tampil menjadi sebahagian daripada program latihan pekerjaan itu memandangkan sebelum ini hanya 10 peratus daripada peserta dari kedua-dua negeri.
“Bagaimanapun, jika mereka mendapat penempatan kerja di Semenanjung, kita akan menanggung kos pengangkutan jika mereka pertama kali pergi ke sana untuk bekerja.
“Pelatih akan menerima gaji bulanan sebanyak RM2,500 dan manfaat lain seperti caruman KWSP, PERKESO, manfaat kesihatan dan perlindungan insurans.
“Tidak kira apa jenis ijazah mereka, kita akan pastikan mereka mendapat pekerjaan setanding dengan kelayakan bagi memastikan mereka dapat meningkatkan taraf hidup dengan kerjaya yang lebih baik,” katanya.
Sejak diwujudkan pada 2012, program PDP ILTIZAM sudah membantu seramai 432 graduan yang berjaya mendapat pekerjaan tetap.
Malah, katanya ketika pandemik pada tahun lalu, kira-kira 85 peratus graduan yang dipilih daripada program berkenaan mendapat pekerjaan tetap dalam pelbagai bidang.
Ekuinas akan memilih 75 pelatih untuk ditempatkan di portfolio Ekuinas dan rakan syarikat.
Permohonan untuk menyertai program berkenaan boleh dibuat di laman web https://iltizam.ekuinas.com.my/pdp/ sebelum 30 September 2021.
-Deasoka