Sabah capai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

Sabah capai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Sabah mencapai sasaran 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia selepas Sabah mencatat 59.4 peratus lengkap vaksin, semalam.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan Sabah berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir bulan depan.

“Peratusan populasi dewasa Sabah yang sudah lengkap divaksinkan semalam mencapai 59.4 peratus. Jadi, bolehlah diandaikan bahawa peratusan vaksinasi populasi dewasa Sabah sudah mencapai 60 peratus pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, bagi pemberian vaksin harian setakat semalam, seramai 49,717 orang menerima vaksin, merangkumi seramai 29,809 orang penduduk dewasa dan seramai 19,908 orang remaja.

Katanya, penerima dos pertama vaksin pula mencapai 72.1 peratus setakat semalam atau bersamaan 1,959,277 orang daripada keseluruhan penduduk dewasa di Sabah.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima vaksin dos pertama atau Cansino setakat 21 September 2021 adalah seramai 2,103,525 orang.

“Ini meliputi 1,959,277 orang penduduk
dewasa bersamaan dengan 72.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dewasa di Sabah, manakala bagi penerima dos lengkap seramai 1,614,771 atau 59.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata, setakat semalam juga seramai 144,248 remaja sudah menerima vaksin atau bersamaan 33.8 peratus daripada jumlah penduduk remaja di Sabah.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata jumlah sebenar rakyat Sabah yang sudah lengkap vaksin adalah lebih tinggi jika mengambil kira penduduk dewasa yang berada di Semenanjung.

“Ramai rakyat Sabah berada di Semenanjung pada masa ini yang menjadi sebahagian daripada statistik penduduk Sabah. Ia boleh dilihat berdasarkan jumlah bakul makanan sebanyak 171,963 yang diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) rakyat Sabah yang berada di Semenanjung setakat ini.

“Ramai daripada rakyat Sabah ini sudah divaksin di Semenanjung. Oleh yang demikian, peratusan rakyat Sabah yang sudah divaksin sebenarnya lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh data semasa kita,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah yang dianggarkan sudah mendapat vaksin di Semenanjung ialah kira-kira 200,000 orang.

Masidi berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, populasi dewasa Sabah adalah seramai 2,758,400, dengan 59.4 peratus daripadanya sudah lengkap vaksin setakat semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|