Salah faham ketika mahu menarik kereta punca pergaduhan

Salah faham ketika mahu menarik kereta punca pergaduhan

Tawau: Punca pergaduhan sekumpulan lelaki di Taman Traulsen, Jalan Persisiran, di sini, semalam hingga tular di media sosial dipercayai akibat perselisihan faham ketika mahu menarik kereta sehingga tercetus pergaduhan berkenaan.

Susulan daripada itu, seramai tujuh lelaki termasuk dua warga asing berusia 23 hingga 38 tahun ditahan di beberapa lokasi di daerah ini, kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan pergaduhan dua kumpulan yang turut tular di media sosial, sepasukan polis bertindak menjalankan siasatan.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan siasatan telah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

“Polis kemudian bertindak menjalankan serbuan dan menangkap tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu untuk membantu siasatan.

“Seorang lagi suspek Jumadi Baba, 35, masih diburu untuk membantu siasatan polis susulan pergaduhan itu,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Peter berkata, motif pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham ketika mahu menarik kereta hingga cetusnya pergaduhan dua kumpulan lelaki terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan mereka juga turut disiasat atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan senjata Berbahaya,” katanya.

Sehubungan itu, Peter berkata, mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Zam Zarina Asri di talian 016-7375868 dan pegawai penyiasat Inspektor Navind Raj A/L Ashokumar di talian 014-3427025.

Semalam, tular rakaman video memaparkan pergaduhan dua kumpulan lelaki di Taman Traulsen, Jalan Persisiran.

Dalam video yang berdurasi 33 saat itu, turut memaparkan beberapa lelaki yang bergaduh dilihat menggunakan senjata tajam dan kayu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|