UMS, PETRONAS meterai MoU bangunkan bidang teknikal

UMS, PETRONAS meterai MoU bangunkan bidang teknikal

Kuala Lumpur: Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi kerjasama perkongsian pengetahuan industri-akademik dalam bidang teknikal.

MoU yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dikenali sebagai Collaboration with Higher Education Strategic Initiative (CHESS) yang turut membabitkan beberapa universiti awam (UA) lain.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata MoU itu bukan sahaja memberi impak yang tinggi dalam bidang kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, malah bakal memberi manfaat kepada bidang lain di UMS.

’’Di bawah kolaborasi CHESS ini, kita berharap ia dapat meningkatkan daya saing pelajar dari segi pengetahuan dan kebolehpasaran, meningkatkan inovasi dan seterusnya meningkatkan kelestarian dalam bidang akademik serta pembangunan dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga akan dapat membantu pelajar dan pensyarah untuk mendapatkan bimbingan dari industri terutama yang melibatkan latihan industri, pengembangan kemahiran dan juga untuk penempatan pekerjaan,’’ katanya.

Taufiq berkata kolaborasi itu juga mampu meningkatkan hubungan dua hala di antara universiti dan sektor industri.

Katanya, pembabitan UMS dalam program bersama dengan industri juga adalah antara kriteria dalam penilaian akredatasi bagi Engineering Accreditation Council (EAC).

“Oleh itu, MoU ini secara langsung dapat membantu menjayakan penilaian akredatasi bagi program yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam masa sama, kolaborasi ini juga meningkatkan lagi imej UMS sebagai sebuah institusi yang mempunyai jaringan kukuh dengan industri, di samping boleh menambahkan keyakinan terhadap pemegang taruh universiti,” katanya.

Beliau menambah, ketika ini ramai graduan UMS juga mendapat peluang untuk berkhidmat dengan syarikat berkaitan minyak dan gas negara itu.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Bacho Pilong, berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk mencipta impak sosial yang positif berpandukan agenda kelestarian yang digariskan.

“Pembangunan bakat melalui inisiatif berkaitan pendidikan adalah salah satu cara PETRONAS menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya yang juga Profesor Adjung di UMS.

Selain UMS, turut memeterai MoU bersama PETRONAS ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Hadir sama, Dekan FKJ UMS, Prof Madya Dr Ismail Saad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|