Pengurus syarikat rugi RM50,000 ditipu Macau Scam

Pengurus syarikat rugi RM50,000 ditipu Macau Scam

Labuan: Seorang pengurus sebuah syarikat swasta kerugian RM50,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam, selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa wanita berusia 49 tahun menerima panggilan daripada individu berkenaan pada jam 1.57 tengah hari 22 November lalu ketika berada di pejabatnya di kawasan Patau-Patau.

Katanya, individu terbabit yang mendakwa sebagai pegawai sebuah bank memaklumkan kad kredit atas namanya mempunyai transaksi sebanyak tiga kali berjumlah RM15,991.

“Mangsa kemudian menafikan perkara berkenaan dan menyatakan tidak memiliki kad kredit di bank berkenaan.

“Mangsa diarahkan untuk membuat pengesahan bagi mengemaskini akaun bank dan terus sahaja memberikan maklumat peribadinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, panggilan kemudian disambung kepada seseorang yang didakwa pegawai Bank Negara.

“Seterusnya bercakap dengan seorang lagi individu lelaki yang kononnya mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman yang mengaku mengendalikan kesnya.

“Mangsa berasa curiga dan menghubungai pihak bank untuk bertanyakan akaun bank miliknya.

“Pihak bank kemudian mengesahkan bahawa wang mangsa telah dipindahkan keluar berjumlah RM50,000,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian datang ke balai polis buat laporan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu yang tidak dikenali.

“Seharusnya mereka membuat semakan terlebih dahulu di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|