Tempahan penerbangan ke Sabah meningkat

Tempahan penerbangan ke Sabah meningkat

Kota Kinabalu: Penerbangan Malaysia (MAS) mencatat peningkatan tempahan tiket ke Sabah selepas kerajaan negeri mengumumkan kelonggaran syarat ujian calitan Covid-19 kepada pengunjung lengkap vaksin ke negeri ini bermula 1 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail, berkata jualan tiket bagi penerbangan ke Kota Kinabalu adalah yang tertinggi dicatat syarikat itu sepanjang Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur, akhir minggu lalu.

“Sabah adalah hab penting MAS dan kita sudah meningkatkan penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu daripada 68 penerbangan kepada 75 penerbangan seminggu bermula November hingga Disember tahun ini.

“MAS juga akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan di antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mulai 1 Disember ini,” katanya pada pertemuan dengan delegasi Kementerian Pelncongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di Akademi MAB di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Delegasi itu diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan turut disertai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman dan Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

Izham berkata, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada tahun depan, MAS turut bersedia untuk membantu Sabah dalam usaha menggalakkan kemasukan pelawat antarabangsa ke negeri ini.

Sementara itu, Jafry berkata jualan tiket penerbangan yang memberansangkan itu adalah petunjuk sektor pelancongan semakin pulih dan ramai rakyat Malaysia bersemangat untuk melawat Sabah.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan STB sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MAS untuk mewujudkan semula penerbangan terus domestik dan antarabangsa ke Sabah.

“Kita menyasarkan ketibaan pelawat meningkat selepas sekian lama industri pelancongan terhenti, namun ia tidak dapat dicapai tanpa bantuan daripada syarikat penerbangan,” katanya.

Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS itu adalah sebahagian daripada pembabitan berterusan STB dengan syarikat penerbangan.

STB yang diketuai oleh Joniston turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat pada 19 November lalu bagi membincangkan rancangan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu di Sabah.

Selain itu, STB turut merancang juga untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan Malindo Air.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|