Covid-19 Sabah: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Sabah tinggi

Covid-19 Sabah: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Sabah tinggi

Kota Kinabalu: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Sabah meningkat kepada 1.01 berbanding 0.98 pada awal bulan ini, melepasi RT nasional 1.0 yang direkodkan setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata petunjuk itu perlu dijadikan peringatan bagi memastikan lonjakan kes Covid-19 tidak berulang.

Ini kerana, katanya sikap orang ramai menjadi penentu utama kepada kejayaan melawan jangkitan virus Covid-19.

“Setakat 22 November, kadar kebolehjangkitan atau Rt bagi Malaysia ialah 1.0 tetapi bagi Sabah, kadar ini telah naik melepasi 1.0 kepada 1.01.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan memberi peringatan kepada semua rakyat agar sentiasa berwaspada bagi mengelak berlaku satu lagi pandemik yang serius seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata, banyak daerah di Sabah mencatat pertambahan kes baharu yang agak tinggi menyebabkan jumlah kes hari ini melambung tinggi kepada 526 kes berbanding 485 kes semalam.

Katanya, antara daerah mencatat pertambahan kes ketara ialah Kota Marudu yang meningkat 27 kes kepada 54 kes, diikuti Beaufort yang mencatat peningkatan 33 kes kepada 49 kes dan Telupid, meningkat 22 kes kepada 25 kes hari ini.

“Kota Kinabalu pula mencatat penurunan 60 kes kepada 101 kes tetapi kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah. Daerah Tuaran pula mencatat penurunan yang 43 kes kepada 19 kes manakala di Ranau turun 14 kes kepada 19 kes,” katanya.

Beliau berkata, kes sporadik atau saringan bergejala kekal tinggi dengan hampir 41 peratus berbanding 52 peratus bagi kes kontak rapat.

Statistik itu, katanya membimbangkan kerana ia mencerminkan sikap alpa dan lalai terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sebahagian masyarakat.

“Mereka yang sudah lengkap divaksin juga adalah kumpulan terbesar kes jangkitan baharu setiap hari. Sekali lagi diperingatkan, vaksin tidak memberi kita perlindungan 100 peratus. Sikap kita adalah pelengkap kepada pertahanan daripada jangkitan,” katanya.

Daripada 526 kes baharu hari ini, 515 kes atau 98 peratus berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2 manakala tiga pesakit dalam Kategori 3, empat pesakit dalam Kategori 4 dan satu pesakit dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 23 November 2021
Sabah 526 (485)

Kota Kinabalu 101 (161)
Kota Marudu 54 (27)
Beaufort 49 (16)
Papar 41 (18)
Penampang 32 (26)
Telupid 25 (3)
Keningau 23 (17)
Ranau 19 (33)
Tuaran 19 (62)
Tenom 18 (11)
Kudat 18 (9)
Kota Belud 18 (23)
Putatan 17 (18)
Sandakan 16 (7)
Sipitang 16 (5)
Tambunan 15 (3)
Kuala Penyu 12 (11)
Tongod 10 (5)
Pitas 6 (0)
Beluran 4 (4)
Lahad Datu 4 (6)
Kinabatangan 4 (1)
Nabawan 2 (1)
Tawau 2 (12)
Semporna 1 (2)
Kunak 0 (4)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 22 November

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|