Kajian projek Empangan Papar dimulakan tahun depan

Kajian projek Empangan Papar dimulakan tahun depan

Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan meneruskan Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 yang membabitkan pembinaan Empangan Papar sebagai langkah jangka panjang mengatasi isu kekurangan bekalan air di bandar raya ini.

Pengarahnya, Ir Edward Lingkapo, berkata projek yang akan dilaksanakan di kawasan hulu Sungai Papar dalam daerah Papar itu, akan dimulakan selepas kajian yang akan dilaksanakan pada tahun depan disiapkan.

Katanya, ketika ini kerajaan sedang dalam proses untuk melantik juruperunding bagi melaksanakan kajian berkenaan yang dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga sembilan bulan.

“Projek Empangan Papar kini dalam proses untuk melantik konsultan dan kita sudah mengetengahkan kepada kerajaan negeri. Tahun depan akan bermula kajian selama enam bulan hingga sembilan bulan.

“Selepas kajian itu selesai, kita pasti sudah ada cara atau halatuju bagaimana untuk melaksanakan projek berkenaan,” katanya pada sidang media khas isu gangguan bekalan air kawasan Sepanggar, di sini, semalam.

Projek bernilai RM3 bilion itu dicadangkan sejak 2010 namun ditangguhkan berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama penduduk di kawasan hulu Sungai Papar yang bimbang kehilangan tanah hak adat anak negeri (NCR) selain pembinaannya didakwa boleh merosakkan alam sekitar.

Pelaksanaan projek itu adalah fasa akhir rancangan bekalan air untuk kawasan Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya dengan jangka hayat operasi empangan untuk memenuhi keperluan penduduk boleh bertahan sehingga 100 tahun.

Edward berkata, masalah gangguan bekalan air yang serius di kawasan utara Kota Kinabalu ketika ini mungkin tidak berlaku jika tiada bantahan terhadap projek itu ketika kajian pertama dilaksanakan pada 2010.

“Lokasi empangan masih sama iaitu dalam daerah Papar tetapi apabila ia mula dibina masuk di Moyog, Penampang. Yang akan tenggelam apabila empangan siap kebanyakannya hutan simpan dan kawasan Taman-Taman Sabah.

“Ia sepatutnya mula pada 2010 tetapi disebabkan bantahan, kita buang masa selama 12 tahun. Jika sebelum ini berjalan lancar, ia sepatutnya sudah siap lima tahun lalu,” katanya.

Disebabkan keadaan itu, katanya kajian semula perlu dilaksanakan sebelum projek empangan itu diteruskan kerana keadaan alam sekitar di kawasan terbabit sudah berubah berbanding 12 tahun yang lalu.

“Dulu (2010) keadaan air lebih bersih tetapi sekarang keadaan sudah berbuah. Loji Rawatan Air (LRA) di Kogopon, Papar juga terpaksa ditutup pada Disember tahun lalu kerana air Sungai Papar keruh disebabkan pembangunan tidak terkawal.

“Mungkin, kalau kita bina empangan pada masa itu, kawasan sekitar lebih terjaga dan tidak berlaku masalah air sungai keruh hingga memaksa JANS menutup loji sementara waktu,” katanya.

Ketika ini, pengguna di Kota Kinabalu, terutama di kawasan utara bandar raya atau Sepanggar dan sekitarnya berdepan kekurangan bekalan air berikutan kapasiti terhad LRA Telibong 1 dan Telibong 2 di Tuaran yang menyalurkan bekalan ke kawasan terbabit.

LRA Telibong 1 hanya berkapasiti 74 juta liter sehari (MLD), manakala 90 MLD di LRA Telibong 2, menjadikan hanya 164 MLD dapat disalurkan berbading permintaan pengguna yang melebihi 190 MLD.

Projek penambahan kapasiti di kedua-dua LRA terbabit sebanyak 15 MLD kepada 179 MLD yang sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dinikmati pengguna mulai pertengahan tahun depan juga belum mencukupi untuk menampung permintaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|