Pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

Pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

Labuan: Seramai 69 pengunjung termasuk pemilik pusat hiburan, di sini, dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, serbuan di kawasan Pekan Jati, dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan kira-kira jam 1 pagi, pada 20 November lalu.

Katanya, ketika serbuan itu terdapat 69 keseluruhan individu berusia 20 hingga 42 tahun di dalam premis yang masih beroperasi lebih masa.

“Siasatan juga mendapati pemilik premis gagal memastikan pengunjung mematuhi penjarakan fizikal.

“Pemilik premis dikompaun sebanyak RM25,000 manakala setiap pengunjung termasuk 26 wanita dikompaun RM1,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 17(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP PKP PPN Fasa 4 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, sejumlah RM65,660 berjaya dikutip oleh Bahagian Trafik IPD Labuan, hasil bayaran kompaun sempena kempen diskaun 50 peratus dijalankan bermula 1 hingga 12 November lalu.

“Dalam kempen itu, mana-mana kesalahan trafik yang dilakukan di seluruh Malaysia boleh dibayar di mana-mana Pejabat Polis Trafik Daerah di seluruh negara.

“Pihak polis berterima kasih kepada semua individu yang telah melunaskan pembayaran saman dan juga menasihatkan semua pesalah jalan raya supaya menjelaskan saman untuk mengelak waran tangkap serta disenaraihitamkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|