Sabah Four Wheel Association tampil membantu

Sabah Four Wheel Association tampil membantu

Kota Kinabalu: Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah tampil membantu keluarga mangsa untuk membawa keluar Perodua Myvi yang terperangkap di Sungai Kionsom, Inanam, di sini, hari ini.

Mereka yang melihat kejadian itu dalam facebook live Deasoka berhubung kejadian itu sepakat untuk hadir di lokasi bagi menjalankan usaha berkenaan.

Pacuan Empat Roda Sabah tampil membantu membawa keluar Perodua Myvi yang terperangkap di Sungai Kionsom, Inanam.

Misi membabitkan tiga pacuan empat roda yang diketuai oleh Reza Bakri itu berjaya mengeluarkan kenderaan berkenaan selepas berusaha hampir tiga jam.

Reza ketika ditemui berkata, usaha yang dilakukan itu adalah tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, persatuan berkenaan sememangnya sentiasa menghulurkan bantuan bila diperlukan terutamanya ketika bencana seperti banjir dan sebagainya.

“Ini kerana, keadaan di sini memerlukan kenderaan khas yang boleh digunakan dalam situasi yang mencabar seperti ini.

“Kami hanya membantu secara ikhlas khususnya kepada ahli keluarga mangsa dalam insiden ini,” katanya.

Mohd Reza berkata, walaupun keadaan amat mencabar namun kerjasama berpasukan selain bantuan beberapa penduduk kampung berjaya membantu usaha membawa keluar kenderaan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|