Hanya 75 mangsa banjir masih berada di PPS di Beaufort

Hanya 75 mangsa banjir masih berada di PPS di Beaufort

Kota Kinabalu: Mangsa banjir dipindahkan di Beaufort berkurang kepada 75 orang membabitkan 25 keluarga setakat petang ini berbanding 78 orang daripada 26 keluarga tengah hari tadi.

Semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort sejak semalam.

Mangsa adalah dari Kampung Brunei, Sungai Damit dan Skim Kampung Brunei, Membakut.

Sementara itu, difahamkan 15 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang sejak semalam sudah dibenarkan pulang tengah hari tadi.

Begitu juga 58 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Komuniti Kampung Suasa, Beaufort dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing.

Tiga mangsa banjir di Penampang yang dipindahkan di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang akibat banjir kilat malam tadi juga sudah dibenarkan pulang tengah hari tadi.

Sementara itu, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) setakat jam 4 petang tadi menyatakan air Sungai Padas dan Sungai Membakut kini berada pada paras amaran, masing-masing dengan kedalaman 8.54 meter dan 5.88 meter.

Sebanyak 60 kampung di Beaufort dan daerah kecil Membakut terjejas akibat banjir yang bermula sejak kelmarin berikutan hujan lebat berterusan di sekitar pantai barat.

Bagaimanapun, situasi dilaporkan beransur baik berikutan penurunan paras Sungai Padas dan Sungai Membakut sejak pagi tadi walaupun ada kawasan dilaporkan masih dilanda banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|