Pemantauan rapat infrastruktur terdedah bencana mampu tangani insiden: Pemuda UMNO Sabah

Pemantauan rapat infrastruktur terdedah bencana mampu tangani insiden: Pemuda UMNO Sabah

Kota Kinabalu: Kerjasama rapat daripada semua pihak melaksanakan pemantauan terhadap infrastruktur di kawasan terdedah bencana mampu mengelak insiden tidak diingini di masa hadapan.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain ketika merujuk kepada insiden sebuah Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Inanam sejak Jumaat lalu, jelasnya perkara itu perlu diberi perhatian segera.

Beliau berkata, kejadian ini mungkin dapat dielakkan sekiranya jambatan konkrit yang kecil di lokasi insiden mempunyai penghadang di tepi jalan.

Menurut beliau, pihak berkuasa sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di harap dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Walaupun jambatan berkenaan kecil, tetapi ia memerlukan penghadang bagi menghalang insiden seperti ini berulang.

“Begitu juga dengan kementerian berkaitan yang diharap mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian banjir seperti ini berlaku di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Katanya, kawasan Sepanggar mempunyai banyak sungai dan benteng penambatan banjir serta usaha pembesaran sungai perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian di Sungai Kionsom, Inanam, di sini, bagi memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mangsa, hari ini.

Sementara itu, Aziz berkata, pihaknya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa dua mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga dapat bertabah dengan dugaan itu.

Katanya, dia bagi pihak seluruh pergerakan pemuda mengucapkan salam takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

“Saya difahamkan, seorang lagi mangsa masih belum dapat ditemui sehingga kini. Jadi kita berharap usaha gigih pasukan penyelamat kita akan berjaya memperoleh kejayaan.

“Kejadian ini sememangnya mengejutkan dan kita berharap selepas ini penduduk di kawasan berkenaan lebih berhati-hati sekiranya berlaku fenomena hujan berterusan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|