Daerah Beaufort capai imuniti kelompok pertama di Sabah

Daerah Beaufort capai imuniti kelompok pertama di Sabah

Kota Kinabalu: Daerah Beaufort mencatat 89 peratus penduduk dewasanya sudah melengkapkan vaksin Covid-19, semalam, menjadikannya daerah pertama di Sabah mencapai imuniti kelompok.

Dalam kenyataan malam tadi, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia diikuti daerah Kuala Penyu yang setakat ini mencatat 76.6 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin.

“Setakat 3 September, 42.4 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi vaksin lengkap dan 61.1 peratus memperolehi satu dos suntikan vaksin.

“Daerah Beaufort adalah daerah yang paling tinggi jumlah penduduk sudah melengkapkan pengambilan vaksin iaitu 89 peratus, diikuti daerah Kuala Penyu dengan 76.6 peratus,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk mencapai 60 peratus penduduk dewasanya lengkap vaksin pada bulan ini.

Ia kemudian disusuli sasaran mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk lengkap vaksin sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah semalam menyaksikan sebanyak 22,132 suntikan dos pertama diberikan kepada penerima vaksin di seluruh negeri, manakala sebanyak 22,770 suntikan dos kedua.

Semalam juga sebanyak 7,484 orang menerima vaksin dos tunggal CanSino menjadikan jumlah kumulatif penerima vaksin berkenaan di Sabah setakat ini seramai 36,410 orang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|