Covid-19 Sabah: Kes kematian semakin banyak

Covid-19 Sabah: Kes kematian semakin banyak

Kota Kinabalu: Kes kematian akibat Covid-19 di Sabah semakin banyak dengan 55 lagi kes baharu dilaporkan semalam, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik Covid-19 menular ke negeri ini lebih setahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daerah Tuaran mencatat kes kematian tertinggi semalam dengan sebanyak 12 kes, diikuti sebanyak 10 kes di Kota Kinabalu.

Selebihnya, beliau berkata sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan di daerah Tawau, diikuti enam kes di daerah Sandakan, empat kes di Lahad Datu dan tiga kes di daerah Penampang.

“Masing-masing dua kes kematian lagi dilaporkan di daerah Putatan, Keningau, Beluran dan Papar, manakala masing-masing satu kes kematian di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kes kematian yang direkodkan di Sabah semalam turut menunjukkan peningkatan 20 kes berbanding 35 kes kematian yang dilaporkan kelmarin.

Semalam, Sabah mencatat 2,279 kes baharu Covid-19, menurun sebanyak 125 kes berbanding 2,404 kes kelmarin.

Masidi berkata, seramai 1,943 pesakit Covid-19 pula dilaporkan sembuh, manakala seramai 4,538 pesakit sedang menjalani rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Seramai 1,557 pesakit menjalani rawatan di hospital, manakala seramai 2,914 orang di PKRC awam, 58 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara diikuti sembilan orang di fasiliti swasta,” katanya.

Jelasnya, bilangan pesakit memerlukan penjagaan kritikal pula seramai 207 orang merangkumi 126 di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau ‘repurposed critikal care’ dan seramai 81 orang di wad terbuka, manakala 81 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, satu kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan semalam, yang membabitkan jangkitan tempat kerja di sebuah kilang papan.

Kluster Semawang itu dikesan selepas seorang pekerja lelaki bukan warga negara berumur 40 tahun dikesan positif Covid-19 pada 19 Ogos lalu.

Masidi berkata, tiga lagi kes dikesan pada 27 Ogos lalu di lokaliti yang sama, mendorong pengurus kilang mengambil inisiatif melaksanakan saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos lalu.

Berikutan itu, katanya seramai 103 orang pekerjanya dikesan positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 116 kes positif bagi kluster itu setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|