33 rumah penduduk Kampung Kopungit dikenal pasti terjejas

33 rumah penduduk Kampung Kopungit dikenal pasti terjejas

Kota Kinabalu: Tanah runtuh yang meranapkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kota Kinabalu, di Kampung Kopungit, di sini, semalam dikenal pasti menjejaskan 33 rumah penduduk kampung atau berada dalam keadaan tidak selamat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata agensi keselamatan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memantau situasi di kampung itu dan membantu pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat jika hujan berterusan.

“Mayor DBKK melaporkan setakat ini sebanyak 33 rumah terjejas akibat tanah runtuh ini.

“Penduduk setempat disarankan sentiasa mematuhi nasihat agensi keselamatan termasuk arahan berpindah sekiranya penilaian risiko mendapati kawasan bahaya untuk diduduki dalam keadaan hujan berterusan.

“Penduduk yang berpindah juga diminta melaporkan kedudukan masing-masing di Balai Bergerak Polis Diraja Malaysia (DBKK) berdekatan lokasi kejadian. Pusat pemindahan sementara juga sudah disediakan kepada penduduk kampung yang memerlukan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau malam tadi.

Hajiji berkata, semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan sedang mengambil tindakan susulan dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap kejadian sama yang menjejaskan keselamatan di Kompleks C, Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan beberapa kawasan sekitar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, selain stor ubat-ubatan KKM, empat kenderaan termasuk sebuah motosikal milik kakitangan kementerian berkenaan turut dilaporkan musnah.

Bagaimanapun, tiada laporan kemalangan jiwa dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, tanah runtuh di Kompleks C QEH dilaporkan berlaku petang kelmarin berikutan hujan lebat yang menyebabkan tanah di kawasan berbukit berkenaan menjadi lembut sebelum runtuh.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Exco Kesihatan negeri, Shahelmey Yahya yang meninjau lokasi tanah runtuh di hospital berkenaan mengarahkan semua agensi berkaitan mengambil langkah perlu bagi menangani situasi berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|