Dokumen mangsa ditemui

Dokumen mangsa ditemui

Kota Kinabalu: Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui dokumen milik salah seorang yang hilang dalam kejadian membabitkan Perodua Myvi di Sungai Kionsom, semalam.

Dokumen berkenaan ditemui tersangkut di reban ayam kira-kira jam 3.30 petang berhampiran Kampung Pomotodon oleh penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik menerima maklumat awam, pasukan operasi terus ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pasukan mencari dan menyelamat terus menjalankan operasi di sekitar kawasan penemuan itu namun masih gagal menemui mangsa.

“Pasukan bomba meneruskan lagi operasi hari ketiga di sepanjang sungai ini bagi mengesan sebarang petunjuk ataupun mangsa,” katanya ketika ditemui selepas memberi taklimat kepada anggotanya sebelum memulakan operasi, hari ini.

Agustavia berkata, pencarian masih menggunakan tiga kaedah iaitu pencarian atas permukaan air, pencarian tebing sungai menggunakan unit anjing pengesan K9 dan selaman.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, mangsa Simon Sange Tupe, 68, dan Juning Maturun, 37, yang menaiki Perodua Myvi hanyut ke dalam sungai ketika cuba melalui jambatan di Jalan Kionsom Lama.

Operasi mencari dan menyelamat terus dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, setakat ini hanya Juning Maturun ditemui terperangkap di dalam Perodua Myvi berkenaan pagi Sabtu lalu dan operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|