Pemulihan bekalan elektrik dilakukan berperingkat – SESB

Pemulihan bekalan elektrik dilakukan berperingkat – SESB

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan pemulihan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas akibat banjir secara berperingkat.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Asset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata kerja pemulihan bekalan sudah dimulakan sejak Khamis lalu di kawasan yang boleh dilalui pasukan teknikal SESB.

“Kerja baik pulih bekalan disebabkan kerosakan sedang diambil tindakan dengan keutamaan diberi kepada kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam seperti tiang patah dan wayar putus.

“Namun, ada sebahagian lagi kawasan yang masih tidak dapat dilalui disebabkan banjir selain pencawang elektrik ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemulihan bekalan di kawasan masih dilanda banjir akan dilaksanakan sebaik air surut.

Selain itu, katanya, SESB juga terpaksa menutup bekalan ke beberapa kawasan yang ditenggelami banjir atas sebab keselamatan.

“SESB menerima lebih 3,000 panggilan aduan gangguan bekalan dan kerosakan
melibatkan talian putus dan pokok tumbang sejak Khamis hingga lewat malam tadi.

“Kerosakan talian dan gangguan bekalan itu menjejaskan lebih 20,000 pengguna di sekitar Kota Belud, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Sipitang, Bongawan dan Penampang,” katanya.

Sementara itu, Idris menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan SESB seperti wayar putus dan tiang tumbang bagi mengelak terkena renjatan elektrik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|