Kota Kinabalu: Pencarian lebih 12 jam yang dilakukan ahli keluarga dan penduduk kampung untuk membantu operasi pasukan bomba akhirnya berhasil apabila berjaya menemui kenderaan Perodua Myvi itu pada jam 7.20 pagi.
Difahamkan, kumpulan berkenaan cuba mencari kenderaan itu bermula dari lokasi kejadian dengan berenang dan menyelam serta meninjau kawasan tebing sungai.
Ia akhirnya berhasil selepas penduduk kampung yang menemui kenderaan itu dikatakan mahir menyelam selain memahami keadaan susur sungai berkenaan.
Bagaimanapun, hanya seorang mangsa iaitu Juning Maturun, 37, ditemui di dalam kenderaan berkenaan manakala Simon Sanga Ape, 64, pula masih lagi gagal ditemui.
Salah seorang anak mangsa Joseph, Simon, 34, berkata, dia menerima berita buruk itu daripada adiknya yang menghubunginya dan memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, mereka sekeluarga dan dibantu penduduk kampung kemudiannya bertindak turun ke lokasi untuk mencari bapanya namun gagal berikutan keadaan air sungai yang deras.
“Kami membuat keputusan untuk meneruskan pencarian di beberapa lokasi sejak semalam hingga jam 4.30 pagi.
“Selepas rehat seketika, kami meneruskan pencarian sebelum akhirnya menemui kereta itu di sini. Kami terus memaklumkan kepada pihak bomba dan polis” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan Perodua Myvi berkenaan.
Joseph berkata, namun kami difahamkan, hanya seorang berada di dalam kenderaan berkenaan dan ia adalah penumpang yang juga rakan kepada bapanya.
Katanya, mereka sekeluarga masih berharap agar bapanya dapat ditemui secepat mungkin berikutan keadaan air sungai yang masih tidak menentu.
Sementara itu, Joseph berkata, mereka sekeluarga dikejutkan dengan beberapa dakwaan kononnya bapanya sudah ditemui dan selamat.
Namun katanya, tiada sesiapa yang dapat memberikan keadaan dan di mana lokasi bapanya yang sudah diselamatkan.
“Oleh itu kami meneruskan pencarian sehingga kereta ini dapat ditemui pagi tadi.
“Selepas ini, kami akan meneruskan lagi usaha mencari bapa yang masih hilang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan salah seorang mangsa di dalam kereta Perodua Myvi.
“Satu orang meninggal dunia ditemui di dalam kereta berkenaan manakala seorang lagi belum jumpa.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibuat hingga petang tadi belum menemui mangsa.
“Operasi SAR akan disambung semula esok,” katanya.
-Deasoka