JKNS ambil langkah proaktif tingkatkan vaksinasi

JKNS ambil langkah proaktif tingkatkan vaksinasi

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil langkah proaktif meningkatkan program vaksinasi jangkauan luar termasuk menggunakan perkhidmatan doktor udara bagi mencapai sasaran 60 peratus penduduk lengkap vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan ini.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin, berkata pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain yang berkaitan bagi menjangkau seramai mungkin penduduk yang belum divaksin di seluruh negeri.

Beliau berkata program vaksinasi jangkauan luar juga akan ditingkatkan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), selain di penjara dan pusat tahanan.

“Pada masa sama, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital juga akan mengambil inisiatif memberi suntikan vaksin kepada pesakit belum divaksin yang datang untuk temujanji klinik atau menunggu untuk discaj.

“Pemberian vaksin secara terus atau tanpa temujanji juga akan dilaksanakan di semua PPV Komuniti. Ketika ini ada 214 PPV di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 1 September, katanya 60.7 peratus penduduk Sabah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 41.4 peratus penduduk menerima dua dos lengkap.

Katanya, ia adalah peningkatan yang besar bagi negeri Sabah jika dibandingkan hanya 10 peratus penduduk lengkap vaksin pada 9 Julai lalu.

“Terdapat empat jenis vaksin dibekalkan di Sabah iaitu Pfizer, Sinovac, Astrazaneca dan CanSino. Ketika ini 66 peratus yang diberi kepada penduduk di Sabah ialah jenis Pfizer, diikuti Sinovac sebanyak 30 peratus.

“Sabah akan dibekalkan dengan sejumlah 2.8 juta vaksin lagi sepanjang bulan ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu kelewatan ujian saringan Covid-19 di Sabah, Dr Rose Nani berkata secara keseluruhan sebanyak 4,888 ujian mampu dilakukan sehari.

Katanya, kapasiti itu berdasarkan keupayaan tiga makmal milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kapasiti 1,188 ujian sehari, diikuti sebuah makmal kesihatan awam dengan kapasiti 1,000 ujian sehari dan satu makmal klinik kesihatan dengan kapasiti 400 ujian sehari.

Selain itu, katanya sebuah makmal milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut membantu melaksanakan ujian dengan kapasiti 200 ujian sehari, manakala dua lagi makmal swasta dengan kapasiti harian 2,100 ujian sehari.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menangani peningkatan pesakit kes Covid-19, pihaknya melaksanakan penyumberluaran bagi membolehkan pesakit bukan Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini menumpukan rawatan untuk pesakit yang dijangkiti virus berkenaan.

“Penyumberluaran dilakukan dengan tiga hospital swasta untuk rawatan pesakit bukan Covid-19 dan usaha ini masih diteruskan sehingga kini. Selain itu, JKNS dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam proses untuk membuka semula hospital medan di Tawau bagi memenuhi keperluan mendesak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|