Rumah usang dijadikan ‘port’ pesta dadah diserbu

Rumah usang dijadikan ‘port’ pesta dadah diserbu

Tawau: Rumah usang di kawasan blok 31, Jalan Apas, di sini, yang dijadikan ‘port’ pesta dadah sekumpulan lelaki disebu sepasukan polis, awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, seramai tujuh lelaki berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Asisten Superintendan Nor Azaad Raman.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter AK Umbuas berkata, polis yang mendapat maklumat berkaitan kegiatan itu kemudian melakukan pemeriksaan dan intipan.

Katanya, ketika intipan sedang dijalankan, semua suspek dilihat sedang leka berpesta dadah tanpa menyedari tingkah laku mereka diperhatikan pasukan polis.

“Apabila diserbu, mereka (suspek) bertindak cuba melarikan diri namun gagal apabila ditahan anggota polis yang sudah mengepung rumah berkenaan.

“Semua suspek kemudian dibawa balik ke IPD Tawau untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter berkata, ujian air kencing terhadap individu terbabit mendapati semua mereka positif dadah.

Sementara itu, mengulas mengenai serbu itu, Peter berkata, operasi yang dijalankan adalah sebagai titik permulaan fasa endemik Covid-19 di daerah ini untuk membuat operasi besar-besaran secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Polis juga menyeru masyarakat agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat serta bekerjasama selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|