Padah bawa diesel tanpa permit

Padah bawa diesel tanpa permit

Kota Kinabalu: Tindakan seorang pemandu membawa muatan diesel tanpa sebarang permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Kampung Air, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, lelaki berusia 27 tahun terbabit didapati membawa beberapa tong drum berisi diesel yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya.

Pegawai Pemerintah PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan mendapati suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu terdapat barang kawalan minyak diesel disampan dalam beberapa tong drum.

“Kenderaan dan muatan ditahan untuk siasatan lanjut. Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai rampasan termasuk kenderaan yang digunakan bernilai RM31,250,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Masyarakat dialu-alukan terutama masyarakat maritim dab pesisir pantai menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|