AMK Sabah mengakui rakyat Melaka pilih BN demi kestabilan

AMK Sabah mengakui rakyat Melaka pilih BN demi kestabilan

Kota Kinabalu: Rakyat Melaka memilih untuk mewujudkan kestabilan kerajaan apabila memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Pendapat itu disuarakan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin, yang menyifatkan situasi PRN Melaka sama seperti PRN Sabah pada tahun lalu.

Beliau berkata, PRN Sabah sebelum ini menyaksikan rakyat negeri ini memilih gabungan yang disertai Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih kerajaan negeri agar seiring dengan kerajaan Pusat yang dipimpin PN.

Berikutan itu, katanya adalah sukar untuk pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula Melaka kerana BN lebih berpengaruh selepas kembali mengetuai kerajaan Pusat.

“Saya sendiri pernah memaklumkan adalah sukar untuk PH merampas Melaka. Selain faktor peratusan keluar mengundi yang rendah, rakyat juga cenderung melihat kepada sebuah kerajaan yang stabil.

“Saya ingin mengambil contoh seperti apa yang berlaku pada PRN Sabah tahun lalu di mana PN berjaya merampas Sabah kerana rakyat mencari kestabilan politik selari dengan kerajaan persekutuan.

“Pada masa itu kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir di peringkat persekutuan maka rakyat cenderung untuk memilih PN.

“Hari ini BN mentadbir di peringkat persekutuan maka untuk kestabilan, rakyat memilih BN,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kekalahan teruk PH pada PRN Melaka semalam.

BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala PH hanya berjaya memenangi lima kerusi dan dua kerusi lagi dimenangani PN.

Razeef berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka juga sudah dijangka ramai penganalisis politik sejak dari awal lagi.

Beliau menjelaskan, situasi PRN adalah berbeza berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) kerana kerajaan persekutuan turut terbubar.

Katanya, ketika PRU, rakyat tidak terikat, selain berhak memilih sama ada mahu mengekalkan kerajaan sedia ada atau memilih gabungan baharu untuk mentadbir negara.

Sementara itu, katanya tindakan ramai sekutu PKR meletakkan kesalahan di bahu Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah tidak wajar.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan sebarang keputusan dibuat secara bersama, malah kita tahu beberapa perkara tidak dipersetujui Anwar namun harus akur dengan kehendak majoriti dari AMANAH dan DAP.

“PKR kehilangan dua kerusi yang disandang, namun DAP kehilangan empat kerusi dan AMANAH kehilangan satu kerusi yang disandang. Di sini, kita boleh lihat setiap komponen PH kehilangan banyak kerusi dan kekalahan ini perlu dipikul bersama.

“Saya menggesa pimpinan daripada DAP, AMANAH mahupun PKR sendiri untuk berhenti menuding jari antara satu sama lain seterusnya duduk bersama bagi membincangkan serta mencari kelemahan sebelum ini untuk diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata, semua rakan PH perlu faham faktor pentadbiran di peringkat persekutuan antara sebab utama rakyat memilih BN dan ia perlu diakui kepemimpinan PH.

Tegasnya, kepemimpinan PH perlu segera duduk bersama bagi memperkukuhkan kesatuan terutama untuk menghadapi PRN Pilihanraya Sarawak dan PRU-15.

“Saya yakin PH mampu mengambil semula pentadbiran negara pada PRU-15 memandangkan pengundi tidak terikat serta bebas untuk memilih kerajaan yang akan memimpin negara selepas PRU itu nanti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|