Dua parah, kenderaan jatuh gaung

Dua parah, kenderaan jatuh gaung

Ranau: Dua parah manakala dua lagi terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Kinarasan Ranau-Tambunan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua yang parah membabitkan seorang wanita berusia 45 tahun dan bayi lelaki berusia setahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Hyundai Matrix yang terbabas sendiri masuk ke dalam gaung sedalam lebih tiga meter.

“Terdapat empat orang mangsa terlibat di mana dua daripadanya parah dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang turut berada di dalam kenderaan membabitkan pemandu dan seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 4.37 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|