DAP akui jentera PH lemah punca kekalahan PRN Melaka

DAP akui jentera PH lemah punca kekalahan PRN Melaka

Sandakan: Pakatan Harapan (PH) mengakui kelemahan jentera kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara faktor kegagalan menarik sokongan rakyat di negeri berkenaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah turut dilihat antara punca yang menyebabkan PH mengalami kekalahan.

“Dari segi jentera, kita lemah dan itu adalah sesuatu yang harus kita perbaiki. Faktor yang penting ialah peratusan keluar undi kali ini turun sebanyak 20 peratus daripada 85 kepada 65 peratus.

“Inipun mempengaruhi keputusan kerana sekiranya peratusan undi dapat ditingkatkan saya rasa tak perlu capai 20 peratus kalau 15 peratus pun dah cukup membolehkan kita menang,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Biasa DAP Sabah, di sini, hari ini.

Selain itu, Guan Eng turut menyalahkan persempadanan pilihan raya yang didakwanya membantu kemenangan besar lawan mereka, Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mengaitkan kekalahan PH dengan larangan berceramah dan bertemu pengundi yang dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka.

“Namun, kita tetap berbangga dengan kemenangan empat kerusi DAP. Jumlah majoriti kemenangan di empat kerusi berkenaan sangat besar dan kekalahan di empat kerusi yang ditandingi pula sangat rendah majoritinya,” katanya.

PH hanya memenangi lima kerusi termasuk satu kerusi oleh calon AMANAH, manakala dua kerusi lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Baki 21 kerusi dikuasai BN yang sekali gus membolehkan gabungan diketuai UMNO itu sekali lagi menerajui kerajaan negeri Melaka.

Sementara itu, Guan Eng turut mengakui PH terpaksa berdepan tugas lebih mencabar dalam PRN Sarawak tidak lama lagi berikutan kekalahan gabungan berkenaan pada PRN Melaka.

Katanya, lebih banyak halangan dijangka terpaksa dihadapi PH pada PRN Sarawak sejajar pelaksanaan SOP ketat seperti berlaku pada PRN Melaka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|