Covid-19 Sabah: Kes sporadik paling banyak di daerah tinggi kes Covid-19

Covid-19 Sabah: Kes sporadik paling banyak di daerah tinggi kes Covid-19

Kota Kinabalu: Jangkitan sporadik atau kategori bergejala dikesan paling banyak dilaporkan di daerah yang sering mencatat kes harian Covid-19 yang tinggi.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bagi catatan hari ini saja, daerah Kota Kinabalu merekodkan kes jangkitan sporadik antara yang tertinggi di Sabah.

“Sebanyak 45 daripada 98 kes di Kota Kinabalu hari ini adalah kes melalui saringan bergejala, diikuti 19 daripada 39 kes di Penampang, 23 daripada 38 kes di Kota Belud dan 13 daripada 26 kes di Ranau.

“Secara keseluruhan 46 peratus atau 201 daripada 437 kes hari ini adalah kes yang dikesan melalui saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan secara sporadik,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

Sebagai pencegahan, katanya amatlah penting bagi semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara serius dan berdisiplin bagi mengelak jangkitan Covid-19 khususnya apabila berada di tempat awam atau dalam perjumpaan secara berkumpulan.

Beliau turut mengulangi peringatan kepada orang ramai bahawa vaksin tidak memberi perlindungan 100 peratus daripada jangkitan walaupun sudah menerima vaksin yang lengkap.

“Ia hanya menyelamatkan kita daripada kesan serius akibat jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut. Sebagai langkah meningkatkan imuniti badan kita, amatlah digalakkan agar semua yang layak mendapatkan dos penggalak mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata secara keseluruhan, jumlah kes harian Covid-19 bagi Sabah turun 108 kes kepada 437 kes hari ini berbanding 545 kes, semalam.

Katanya, lebih banyak daerah mencatatkan penurunan kes harian berbanding daerah yang merekodkan pertambahan kes.

“Antaranya ialah Penampang (-10), Papar (-11), Kota Belud (-19), Tenom (-12) dan Tuaran (-25). Kota Kinabalu kekal penyumbang terbanyak kes baharu dengan 98 kes, bertambah enam kes berbanding semalam. Kinabatangan menambah 17 kes baharu daripada Kluster Sawit Mania yang diisytiharkan hari ini,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 21 November 2021
Sabah 437 (545)

Kota Kinabalu 98 (92)
Penampang 39 (49)
Kota Belud 38 (57)
Papar 32 (43)
Ranau 26 (28)
Tenom 24 (36)
Tuaran 22 (47)
Beaufort 19 (18)
Putatan 19 (18)
Kinabatangan 17 (2)
Keningau 14 (14)
Telupid 13 (13)
Sandakan 13 (10)
Kota Marudu 13 (26)
Kudat 10 (16)
Kuala Penyu 9 (6)
Lahad Datu 9 (5)
Tambunan 5 (13)
Tawau 5 (13)
Sipitang 4 (17)
Beluran 2 (3)
Kunak 2 (0)
Tongod 2 (6)
Pitas 1 (8)
Kalabakan 1 (1)
Semporna 0 (3)
Nabawan 0 (1)

*Angka dalam kurungan adalah jumlah kes semalam 20 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|