Toyota Fortuner terbabas, rempuh lima kenderaan

Toyota Fortuner terbabas, rempuh lima kenderaan

Ranau: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner VRZ terbabas merempuh masuk ke tempat letak kenderaan di luar Kinabalu Park, di sini, sebelum merempuh lima kenderaan lain, dalam kejadian di Kilometer 19 Jalan Ranau – Tamparuli, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Toyota Fortuner dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dalam perjalanan dari Telupid menuju ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan hilang kawalan terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia yang sedang parkir dan seterusnya melanggar empat buah lagi kenderaan lain di tempat yang sama.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya membabitkan kerosakan kenderaan sahaja.

“Perodua Axia rosak teruk pada keseluruhan bahagian manakala empat buah kenderaan lagi iaitu Perodua Bezza, Viva, Toyota Hilux dan Isuzu D Max mengalami kerosakan ringan remuk pada bahagian badan kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, lima kenderaan yang dirempuh tanpa pemandu sedang parkir di kawasan tempat letak kenderaan di luar Kinabalu Park, Taman-Taman Sabah.

“Pemandu kelima-lima kenderaan dipercayai sedang mendaki atau menuruni Gunung Kinabalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|