PRN Melaka: Kemenangan BN bukti rakyat mahukan kestabilan politik – Bung Moktar

PRN Melaka: Kemenangan BN bukti rakyat mahukan kestabilan politik – Bung Moktar

Melaka: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi petunjuk jelas bahawa rakyat mahukan kestabilan politik di negara ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemenangan itu juga jelas menunjukkan kesetiaan dan kepercayaan rakyat terhadap BN masih utuh.

“Setakat ini dua PRN sudah kita lalui iaitu di Sabah dan Melaka di mana kita berhadapan dengan pelbagai presepsi, tohmahan dan fitnah malah sebelum ini ada pihak yang melabelkan BN dan UMNO sudah terkubur.

“Namun, hakikatnya berdasarkan dua PRN ini rakyat masih setia bersama BN yang selama ini terbukti berupaya mengurus kestabilan politik negara,” katanya mengulas kejayaan cemerlang BN yang memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka, semalam.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata kejayaan itu juga membuktikan konsep kerja berpasukan semua jentera parti menjadi faktor utama membantu kemenangan BN pada PRN Melaka.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, BN dan UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai struktur yang lengkap. Justeru kalau semua ini berfungsi dan digerakkan sudah pasti kejayaan dapat dicapai,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua calon BN dan seluruh jentera PRN Melaka, Bung Moktar berharap kejayaan itu tidak mengalpakan semua pemimpin parti untuk melaksanakan tugas dan amanah membela rakyat.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata BN diserang dengan pelbagai persepsi dan fitnah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan perkara sama turut dimainkan ketika PRN Melaka.

Bagaimanapun, katanya rakyat lebih matang membuat penilaian dengan memilih parti yang boleh membawa kestabilan politik untuk kemajuan dan pembangunan negara.

Mengenai prestasi cemerlang calon muda yang ditampilkan BN, Bung Moktar berkata situasi itu menggambarkan usaha BN melakukan proses peremajaan parti membuahkan kejayaan.

“Justeru, mereka yang terpilih perlu memikul tugas yang diamanahkan dan sentiasa berusaha memantapkan kepemimpinan diri bagi menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, berdasarkan keputusan PRN Melaka, beliau tidak menolak kemungkinan BN akan terus bergerak sendiri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“BN dicabar untuk bergerak sendirian pada PRN Melaka dan hasilnya sudah kita lihat. Ini sekali gus memberikan keyakinan kepada BN untuk bergerak sendiri pada PRU akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|