Malaysia komited bangunkan industri tuna – Ronald Kiandee

Malaysia komited bangunkan industri tuna – Ronald Kiandee

Labuan: Kerajaan berhasrat untuk menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di Lautan Pasifik bagi meningkatkan pembabitan nelayan tempatan dalam penerokaan dan pembangunan industri tuna serta sumber perikanan laut dalam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata organisasi terbabit, Western and Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) adalah sebagai tambahan kepada Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) yang disertai Malaysia sejak 1998.

Katanya, penyertaan dalam organisasi terbabit membolehkan lebih banyak kapal perikanan dapat dihantar untuk menangkap ikan tuna di Lautan Hindi selain menggalakkan lebih banyak kapal tuna mendaratkan hasil di Malaysia.

Jelasnya, dengan penyertaan dalam WCPFC, Malaysia boleh merancakkan industri tuna, meningkatkan lagi hasil pendaratan tuna dan seterusnya membangunkan industri laut dalam serta tuna.

Beliau berkata perkara itu dapat direalisasikan dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara serta menggalakkan penglibatan pengusaha industri laut dalam dan tuna di sepanjang rantaian industri tuna.

“Sehingga Oktober 2021, sebanyak 20 kapal tuna iaitu 19 kapal penangkapan ikan tuna dan sebuah kapal pengangkut tuna dilesenkan dan sudah beroperasi di Lautan Hindi manakala satu lagi kapal penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dan dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini.

“Kerajaan menggalakkan sehingga 70 kapal penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030. Ini bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30,000 tan metrik tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sektor perikanan laut dalam di Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

Sesi libat urus itu dihadiri 60 orang yang terdiri daripada nelayan, pengusaha laut dalam, pemain industri perikanan laut dalam, pengilang dan pemproses ikan beku, serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly; Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan MAFI, Mazlan Osman; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Perikanan, Mohd Mohtar Mahamud; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LKIM, Kusuadi Sallih dan Pengarah Perikanan Sabah, Godfrey Kissey.

Program berkenaan bagi mendapatkan input penting daripada semua pihak yang berkepentingan berkaitan tuna sebagai langkah penyediaan perancangan ke arah kemajuan industri tuna tempatan.

Dalam sesi libat urus yang sama, Ronald juga menyerahkan sijil Dolphin-Safe Certification kepada Syarikat Fajar Arenaniaga Sdn Bhd yang berjaya membuktikan penangkapan tuna di Lautan Hindi memenuhi keperluan antarabangsa yang ditetapkan oleh Earth Island Institute, International Marine Mammal Project, California, Amerika Syarikat.

Beliau turut menyerahkan Authorization to Fish (ATF) kepada Syarikat Asia Tank Tuna Sdn Bhd yang baru saja berjaya mendapatkan lesen bagi satu kapal tuna Zon C3 pada Oktober lalu.

Katanya, ATF adalah sebagai kebenaran kepada kapal tuna berbendera Malaysia yang beroperasi di Lautan Hindi.

Selain itu, Ronald turut menyampaikan watikah pelantikan myKomuniti Perikanan (myKP) kepada lima ahli Renjer Taman Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan untuk membentuk nilai kesedaran berhubung kepentingan pengurusan sumber perikanan setempat dan menggunakan peluang rangkaian ekonomi perikanan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti perikanan.

Mengulas lanjut mengenai potensi industri tuna, Ronald berkata ia mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan selaras dengan transformasi dan pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Beliau turut meminta agar pelabur dan pemain industri sedia ada membuka kilang dan mengusahakan kapal tuna, serta menjadikan Labuan sebagai Hab Tuna untuk pasaran ke Semenanjung dan luar negara.

“Kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta adalah amat penting bagi memastikan industri tuna terus berkembang di negara ini dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Dalam hal ini, peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah bagi hasilan perikanan tuna akan terus diberi penekanan,” katanya.

Tambah beliau lagi, manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna, malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna yang dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|