Rokok tidak bercukai bernilai RM160,732 dirampas

Rokok tidak bercukai bernilai RM160,732 dirampas

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM160,732 dalam operasi di kawasan hutan bakau berhampiran Kampung Puyut, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, semua rokok berkenaan ditemui disembunyikan di dalam sebuah kanvas yang dipercayai tempat penyimpanan barang salah.

Katanya, selepas beberapa minit intipan dilakukan, tiada sebarang penampakan pergerakan atau individu di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan rokok tidak bercukai yang ditutup menggunakan kanvas berkenaan.

“Rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|