GRS hargai sokongan ADUN Bebas

GRS hargai sokongan ADUN Bebas

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menghargai sokongan wakil rakyat bebas terhadap usaha kerajaan
melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dapat membantu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita berterima kasih atas sokongan ADUN yang menyokong Halatuju SMJ.

“Dengan itu, kita boleh fokus kepada perpaduan dan pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri, di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan GRS untuk bersama-sama merealisasikan Pelan SMJ.

Hajiji turut diminta mengulas pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) semalam.

Katanya, perkara itu adalah hak demokrasi ahli politik di negara ini.

“Ini adalah hak istimewa setiap Ahli Dewan, hak demokrasi ahli politik di mana saja mereka pilih untuk berkhidmat ataupun melalui landasan parti yang mereka inginkan,” katanya.

Semalam, Dr Yusof mengumumkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan GRS di peringkat negeri dan kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|