Piala BMR Diteruskan

Piala BMR Diteruskan

Kota Kinabalu: Perlawanan grand final Kejohanan Bola sepak Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin bawah umur 18 tahun dijangka diadakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Azman Mastar, berkata perlawanan akhir itu akan melibatkan lapan pasukan zon akan dijalankan sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Katanya, SAFA sudah pun memohon kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) namun belum mendapat jawapan rasmi setakat ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan SAFA berkata, pengajuran kejohanan itu diteruskan mengikut  kesesuaian prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam keadaan penularan pandemik Covid-19.

“Kita akan memaklumkan semua zon terlibat untuk mereka melakukan persiapan rapi supaya pasukan masing-masing akan lebih bersedia menghadapi perlawanan grand final itu,” katanya selepas mesyuarat dengan pengerusi-pengerusi pertandingan peringkat zon secara maya, semalam.

Lapan zon terbabit ialah Zon Pantai Barat Timur, Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Zon Tengah, Pedalaman Atas dan Pantai Timur Selatan.

Katanya, kejohanan ini merupakan salah satu langkah dalam membantu membangunkan sukan bola sepak di negeri ini di samping sebagai platform melahirkan pemain-pemain muda yang berbakat.

“Kita sedar dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, pelbagai cabaran harus ditempuhi namun ia tidak akan menghalang untuk pihak SAFA menjayakannya dan merancang aktiviti lain.”

“Kejohanan ini memboelhkan usaha meneruskan momentum kegemilangan bola sepak di Sabah menerusi pencarian bakat muda yang boleh diketengahkan kepada pasukan senior nanti,” katanya.

Azman berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kejohanan ini dan sekaligus memastikan sasaran pencarian bakat muda dapat dicapai.

“Kita mahu pertandingan ini dapat mencari bakat baru namun ia tidak akan dapat dijayakan tanpa sokongan dari setiap zon,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang turut hadir dalam mesyuarat berkenaan secara atas talian itu, berkata, kejohanan ini adalah salah satu usaha yang baik diambil oleh badan bolasepak negeri.

Katanya, selepas ini lebih banyak lagi usaha atau tindakan yang akan diambil termasuk penganjuran Liga bola sepak wanita di Sabah.

“Memandangkan Sabah berjaya melahirkan ramai pemain wanita untuk mewakili skuad kebangsaan, liga yang dicadangkan amat sesuai untuk membolehkan lebih ramai pemain wanita dapat dikenal pasti dan digilap bakat mereka,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan melawat ke daerah-daerah bagi memastikan usaha memajukan sukan bolasepak ini dapat terus dipergiatkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|