Rokok seludup bernilai RM182,604 dirampas

Rokok seludup bernilai RM182,604 dirampas

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menemukan longgokan plastik hitam berisi rokok seludup bernilai RM182,604 yang ditinggalkan di jalan pantai, Tawau lama, di sini, semalam.

Semua rokok itu ditemukan oleh anggota OCP Daratan ESSCOM yang terdiri daripada enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, empat anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) yang diketua Seorang anggota ESSCOM, jam 11.15 malam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap satu lokasi yang disyaki menjadi hotspot/staging point penyeludupan rokok di daerah berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan itu, pasukan OCP Daratan ESSCOM menemui beberapa longgokan plastik hitam yang ditinggalkan di lokasi berkenaan tanpa pengawasan disyaki mengandungi rokok yang belum dibayar cukai Kastam.

“Pemeriksaan lanjut terhadap plastik hitam itu menemui 359 karton rokok jenama Fit (Mild Menthol), 449 karton rokok jenama Mezzo, 246 karton rokok jenama Premiro dsn 270 karton rokok jenama Djarum Black.

“Nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM182,604.80,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, semua rokok berkenaan disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran Indonesia ke daerah ini untuk diedarkan dan pasaran tempatan.

“Semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terbabit dalam menjayakan operasi berkenaan khasnya kepada Batalion 14 PGA dan 8 RAMD.

“ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan migran serta kemasukan pati selain memantau pergerakan kegiatan ‘Kidnapping for ransom group (KFRG)’ yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

“Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan penyeludupan dan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|