Kota Kinabalu: Atlet paralimpik pingpong Sabah, Muhamad Lizan Mat Sittim menerima sumbangan kerusi roda untuk membantunya terus bergiat dalam sukan berkenaan.
Kerusi roda jenis Moov 2.0 Lightweight itu disumbangkan isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag.
Juliah yang menyerahkan sendiri kerusi roda berkenaan di Rumah Yayasan Sabah, di sini, semalam, menyatakan harapan agar sumbangan itu menyemarakkan lagi semangat Muhamad Lizan untuk terus aktif dalam sukan pingpong dan terus mewakili negeri ini.
“Semoga dengan pemberian kerusi roda ini iaitu jenis Moov 2.0 Lightweight yang sesuai digunakan untuk sukan akan meningkatkan lagi semangat beliau sekali gus mengharumkan nama negeri dalam sukan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga berharap semangat yang dimiliki Muhamad Lizan akan menjadi pendorong kepada atlet paralimpik lain di Sabah untuk bersama mengharumkan nama negeri ini,” katanya pada majlis penyerahan kerusi roda berkenaan, semalam.
Muhamad Lizan, 28.
Yang turut hadir ialah Penguasa Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya (KLPOKU) Kimanis, Papar, Dayangku Suhaila Pg Suhaimi; Pembantu Tadbir KLPOKU, Rafidah Dahali dan Jurulatih KLPOKU, Safwanizam Suhaibul.
Sementara itu, Muhamad Lizan, 28, yang berasal dari Beaufort melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan kerusi roda yang sesuai digunakannya untuk sukan terutama pingpong.
“Alhamdulillah, saya merakamkan terima kasih kepada isteri Ketua Menteri atas sumbangan kerusi roda ini. Kerusi roda jenis ini memang amat sesuai untuk sukan dan tahan lama, mungkin empat hingga lima tahun,” katanya yang juga kakitangan tetap sebagai Pembantu operasi di KLPOKU.
Beliau yang juga anak keenam daripada sembilan beradik, menjadi pelatih dalam bidang operasi sistem komputer di KLPOKU, Kimanis sejak 2013 selepas
terbabit dalam kemalangan pada 2012.
Sehingga kini, Muhamad Lizan pernah melakar beberapa kemenangan ketika mewakili Sabah dalam perlawanan pingpong termasuk memenangi pingat perak kategori beregu Paralimpiad Perlis pada 2014.
Beliau turut memenangi pingat perak kategori berkumpulan dan beregu kelas-3 Paralimpiad Sarawak pada 2016 serta pingat gangsa acara perseorangan kelas-3.
Muhamad Lizan juga pernah mewakili negara dalam sukan pingpong pada Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur dalam acara perseorangan dan beregu kelas-3 suku akhir.
Selain itu, beliau juga pernah mewakili Sabah dalam Para SUKMA Perak 2018 dengan memenangi pingat emas kategori beregu dan berpasukan kelas-3 serta pingat perak perseorangan kelas-3 dan kelas 1-5.
-Deasoka