Covid-19 Sabah: Kes baharu kembali melebihi 2,000

Covid-19 Sabah: Kes baharu kembali melebihi 2,000

Kota Kinabalu: Sabah kembali merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi angka 2,000 apabila mencatat sebanyak 2,103 kes hari ini berbanding 1,728 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kota Kinabalu kekal sebagai penyumbang kes terbanyak dengan 467 kes iaitu meningkat 105 kes berbanding semalam.

Katanya, daerah Tuaran pula menambah 51 kes kepada 200 kes baharu hari ini, diikuti Keningau yang menunjukkan peningkatan 96 kes kepada 163 kes hari ini, manakala di Tenom meningkat 52 kes kepada 61 kes hari ini, disusuli Ranau dengan peningkatan 26 kes kepada 57 kes baharu hari ini.

“Selain daerah terbabit, beberapa daerah lain lagi turut mencatat kes yang tinggi hari ini iaitu Tawau (255 kes), Sandakan (208 kes), Penampang (135 kes), Lahad Datu (78 kes) dan Kota Belud (71 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, daripada 2,103 kes hari ini, sebanyak 1,229 kes (58.4 peratus) dikesan melalui saringan kontak rapat, manakala 532 kes (25.3 peratus) melalui saringan bergejala dan 161 kes (7.6 peratus) lagi dikesan melalui saringan kluster sedia ada.

“Seperti semalam, pesakit kategori dua adalah kumpulan terbanyak dengan 969 kes (46.1 peratus); kategori satu, 582 kes (27.7 peratus); kategori tiga, sembilan orang, manakala kategori empat dan lima masing-masing tiga orang,” katanya.

Katanya, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Sawit Baiduri di Lahad Datu yang setakat ini mencatat 77 kes termasuk 29 kes baharu hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata setakat semalam, sebanyak 47.3 peratus penduduk dewasa Sabah sudah memperolehi satu dos vaksin Covid-19, manakala 23.6 peratus sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Semalam juga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memberi suntikan sebanyak 52,992 dos vaksin Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|