Sabah sambut baik hasrat Amerika sumbang USD1 juta pulihara hidupan liar

Sabah sambut baik hasrat Amerika sumbang USD1 juta pulihara hidupan liar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyambut baik hasrat Amerika Syarikat untum menyumbang USD1 juta bagi membiayai usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dana itu yang dijanjikan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters adalah untuk melengkapkan program perlindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

“Mcfeeters turut menawarkan kerjasama dalam konservasi hutan melalui program Heart of Borneo (HoB) iaitu inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas merangkumi Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung pertemuan secara maya dengan Mcfeeters, di sini, semalam.

Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa menjaga hubungan baik dengan Amerika Syarikat hubungan dua hala antara negara itu dengan Malaysia yang sudah terjalin sejak 1957.

Katanya, Amerika Syarikat juga kekal sebagai rakan dagang terbesar negara ini dan Malaysia adalah salah satu sekutu lama serta terdekatnya negara dalam kerjasama membabitkan bidang ketenteraan, pelaburan, ekonomi dan pendidikan.

Terbaharu, katanya Amerika Syarikat menyumbang sebanyak satu juta dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia dan menjanjikan tambahan bantuan Covid-19 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia.

“Kita berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah khususnya dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semulajadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kita dalam memerangi cabaran susulan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Mcfeeters turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemerdangangan manusia, pendatang tanpa izin dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan.

Sementara itu, Mcfeeters yang memegang jawatan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia sejak Februari tahun ini, berkata beliau tidak sabar untuk berkunjung ke Sabah yang menjadi destinasi pelancongan terkenal dalam kalangan rakyat negaranya kerana tarikan alam semula jadi dan Gunung Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|