2 lelaki ditahan, 3 laras bakakuk dirampas

2 lelaki ditahan, 3 laras bakakuk dirampas

Kota Belud: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga senjata api buatan sendiri jenis bakakuk serta peluru dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, minggu lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 43 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di Kampung Tamalang Taginambur dan Kampung Tindakon.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, siasatan mendapati suspek pertama mengaku bakakuk itu ditemui oleh ayahnya di kebun getah beberapa tahun lalu.

Selain itu katanya, suspek kedua mengaku senapang itu dibeli dengan harga RM500 daripada rakannya dua tahun lalu.

“Kedua-dua mereka mengaku menyimpan senapang itu untuk tujuan memburu dan siasatan masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Sahimi menyeru kepada semua penduduk kampung khususnya di daerah ini supaya tampil untuk memberi maklumat kepada pihak polis jika mengetahui ada sesiapa yang menyimpan atau memiliki senjata api buatan sendiri.

Katanya, polis akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di rumah – rumah atau tempat yang dipercayai ada menyimpan senjata api buatan sendiri demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|