Maut ditembak rakan sendiri ketika memburu

Maut ditembak rakan sendiri ketika memburu

Keningau: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak rakannya secara tidak sengaja ketika berburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun maut serta merta di tempat kejadian akibat beberapa kesan tembakan ditubuhnya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakannya yang juga suspek berusia 25 tahun melakukan aktiviti berburu di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek dipercayai tertembak mangsa ketika memburu sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan dan badan.

“Mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tembakan ditubuhnya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk tujuan bedas siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada hari yang sama bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menahan suspek terbabit.

Katanya, polis turut merampas satu laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk, satu butir kelongsong peluru dan pakaian suspek yang digunakan dalam kejadian itu.

“Hasil semakan mendapati suspek adalah penganggur yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bagi tujuan siasatan. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan mana-mana saksi diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Sementara itu, shahrudin menasihatkan penduduk setempat agar mengambil iktibar daripada kejadian itu.

“Aktiviti memburu secara haram dan pemilikan senjata api buatan sendiri jelas melanggar undang-undang yang boleh mendatangkan kecederaan sehingga meragut nyawa.

“Polis sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat awam untuk membanteras kegiatan ini bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|