Tuaran: Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi bersama tiga rakan di Sungai Kampung Sekudung, Serusup, di sini, semalam, masih belum ditemui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi mencari hari kedua yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dimulakan dengan pasukan penyelam JBPM seawal jam 7.05 pagi.
Abdul Qawie Abdul Gapar.
Katanya, operasi pencarian kemudiannya ditambah dengan menggunakan khidmat anjing pengesan yang dimulakan pada jam 10.50 pagi.
“Radius pencarian mangsa dilanjutkan sehingga satu kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Selain itu, kaedah pusaran menggunakan bot Pasukan Polis Marin (PPM) bagi menganggu dasar sungai juga digunapakai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Qawie berkata, operasi masih lagi diteruskan setakat ini dengan bantuan beberapa agensi lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, mangsa Mohamad Amar Qayyum Rasmi, 15, dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya.
Sebaik disedari hilang, rakan mangsa terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
-Deasoka