Miliki senjata buatan sendiri, dua lelaki ditahan

Miliki senjata buatan sendiri, dua lelaki ditahan

Kota Marudu: Dua lelaki yang memiliki senjata buatan sendiri ditahan polis dalam dua serbuan berasingan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu dalam operasi selama dua hari bermula, Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 46 tahun itu berjaya ditahan dalam operasi Op Laras yang dijalankan atas maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seribudaya, Pitas, di sini pada jam 3.40 petang.

“Hasil pemeriksaan menemui satu laras senjata buatan sendiri atau Bakakuk yang disembunyikan di atas siling rumah.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui dua butir peluru hidup yang disimpan di dalam bekas kaca mata di kabinet rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, serbuan kedua pula dijalankan pada jam 12.10 tengah malam di sebuah rumah di Kampung Pinapak, Pitas, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui satu laras senjata buatan sendiri jenis ‘Ginsuk’ yang diletakkan di atas lantai kaki lima rumah suspek.

“Pemeriksaan turut menemui peralatan Ginsuk iaitu sebatang kayu panjang, satu balang plastik timah, satu botol kepala mancis, satu getah selipar dan segumpal kertas putih yang ditemui bersama senjata Ginsuk berkenaan,” katanya.

Zairolnizal berkata, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Zairolnizal berkata, operasi OP Laras yang dilancarkan IPD Kota Marudu itu diadakan bagi memburu mereka yang memiliki senjatapi buatan sendiri atau peluru tanpa lesen atau permit yang sah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|