Covid-19 Sabah: Pesakit kategori dua paling tinggi

Covid-19 Sabah: Pesakit kategori dua paling tinggi

Kota Kinabalu: Pesakit kategori dua atau bergejala ringan terus menjadi kumpulan tertinggi kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 972 kes atau 55.5 peratus daripada 1,752 kes keseluruhan, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata keadaan itu sejajar peningkatan kes baharu melalui saringan bergejala.

“Baki seramai 376 orang atau 21.4 peratus lagi adalah pesakit kategori satu iaitu tidak bergejala, diikuti 10 orang dalam kategori tiga, seramai enam orang dalam kategori empat dan tiga orang dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes baharu hari ini dengan 1,063 kes atau 61 peratus, diikuti 538 kes (31 peratus) melalui saringan bergejala.

Beliau berkata, di Kota Kinabalu, sebanyak144 (33 peratus) daripada 436 kes baharu adalah melalui saringan bergejala, manakala 40 kes (36 peratus) daripada 111 kes di Tuaran, 71 kes (31.1 peratus) daripada 228 kes di Penampang, 49 kes (43.4 peratus) daripada 113 kes di Sandakan dan 67 kes (25.7 peratus) daripada 261 kes di Tawau.

“Jumlah kes melalui saringan bergejala yang tinggi adalah satu peringatan bagi kita semua untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) secara total ketika berada di khalayak ramai khususnya di tempat tertutup seperti pasar raya dan restoran.

“Inilah juga salah satu sebab kita mahu memperkenalkan keperluan dua dos lengkap bagi mereka yang bekerja dan melanggan di pasar raya dan restoran (sebulan daripada sekarang) untuk mengurangkan risiko jangkitan sporadik di tempat yang lazim dikunjungi oleh ramai orang,” katanya.

Bagi jangkitan mengikut daerah pada hari ini, Kota Kinabalu merekodkan tambahan kes baharu yang paling tinggi sebanyak 85 kes, iaitu daripada 351 kes kepada 436 kes pada hari ini.

Katanya, ia disusuli daerah Tawau sebanyak 261 kes (+51); Penampang, 228 kes (+28); Sandakan, 113 kes (-3); Tawau, 110 kes (+10); Keningau, 100 kes (kekal); Papar, 69 kes (-32); Kota Belud, 55 kes (-52); Beaufort, 54 (+25); Lahad Datu, 43 kes (+7); Putatan, 40 kes (+15); Sipitang, 36 kes (+3); Beluran, 33 kes (+5); Tambunan, 16 kes (+14); Kudat, 18 kes (-12) dan Ranau, enam kes (-21).

Dalam pada itu, Masidi berkata sehingga semalam, 44.6 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah menerina satu dos vaksin, manakala 20.8 peratus sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|