Persatuan Pengguna sokong SOP vaksin lengkap untuk masuk restoran, pasar raya

Persatuan Pengguna sokong SOP vaksin lengkap untuk masuk restoran, pasar raya

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyokong penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan pekerja dan pelanggan restoran atau pasar raya di negeri ini diwajibkan lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk memasuki premis.

Presidennya, David Chan, berkata pelaksanaan SOP itu amat wajar bagi mengekang pandemik Covid-19 daripada terus merebak di Sabah.

Katanya, dalam keadaan Sabah yang masih tinggi jumlah jangkitan harian, penguatkuasaan SOP lengkap dua dos vaksin itu memang wajar dan perlu dipatuhi semua pihak.

“Kita menyokong penuh langkah kerajaan menguatkuasakan SOP itu dengan mengambil kira situasi penularan Covid-19 ketika ini yang masih menunjukkan peningkatan tinggi setiap hari,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan memberi tempoh selama sebulan untuk semua pekerja restoran dan pasar raya melengkapkan dua dos vaksin bagi mematuhi SOP berkenaan.

Dalam pada itu, David turut meminta rakyat negeri ini selaku pengguna supaya segera mendapatkan vaksin termasuk mengambil peluang daripada kemudahan ‘walk-in’ yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Lagi cepat kita semua mendapat vaksin penuh, saya yakin lagi cepat kita boleh turunkan jumlah jangkitan dan kes yang memerlukan rawatan di hospital.

“Oleh itu, marilah kita semua menyahut seruan kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin termasuk mengambil vaksin tersedia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) Kota Kinabalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|