Pembangkang wajar terima sikap diplomatik Muhyiddin

Pembangkang wajar terima sikap diplomatik Muhyiddin

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkan tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan pembangkang demi kestabilan politik negara sebagai sikap diplomatik terpuji yang wajar diterima semua pihak.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata tujuan Muhyiddin menawarkan kerjasama itu tidak lain selain untuk memerangi Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Malah, katanya Muhyiddin membuktikan yang beliau bersedia melakukan apa yang perlu untuk memastikan negara berada di landasan yang betul ke arah imuniti kelompok vaksin Covid-19

“Kerajaan persekutuan melakukan semua yang mereka mampu untuk menstabilkan ekonomi dan politik, jadi amat menyedihkan apabila beberapa ahli politik tetap berkeras ingin menggagalkan usaha ini seolah-olah mereka hanya memikirkan kedudukan dan bukannya penderitaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata Muhyiddin juga menjanjikan beberapa reformasi dan ia seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan usaha ke arah pembaharuan dapat dilaksanakan sementara menunggu pilihan raya umum diadakan.

Sementara itu, Jeffrey berkata pendapat rakyat di Sabah dan Sarawak berhubung usaha menyelesaikan kemelut politik di Kuala Lumpur sepatutnya turut diambil kira supaya sama-sama dapat membantu mengatasi kekusutan yang dihadapi.

Katanya, rakyat di Sabah dan Sarawak seolah-olah hanya menjadi penonton drama politik dan apabila semuanya sudah selesai, mereka diminta menerima apa sahaja yang ahli politik di Kuala Lumpur rasa adalah yang terbaik untuk persekutuan Malaysia.

“Adalah penting bagi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk duduk dan bersatu sekarang. Apa yang kita mahu adalah agar kerajaan persekutuan komited untuk menyokong dan melaksanakan hak-hak wilayah dan kewangan kita yang sudah lama wujud,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|