Bantuan PEMERKASA Plus untuk pemandu e-hailing Sabah dan Labuan dibayar mulai 16 Ogos

Bantuan PEMERKASA Plus untuk pemandu e-hailing Sabah dan Labuan dibayar mulai 16 Ogos

Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan mula menyalurkan bantuan sekali bayar RM500 Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 kepada 3,908 pemandu e-hailing di Sabah dan Labuan mulai Isnin ini (16 Ogos 2021).

Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, berkata pembayaran itu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.95 juta.

Katanya, bayaran bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 itu adalah lanjutan daripada pembayaran kepada 2,588 orang pemandu teksi dan kereta sewa, bas sekolah serta bas pelancong yang disalurkan bermula 27 Julai lalu membabitkan peruntukan RM1.29 juta.

“Sehingga rayuan ditutup pada 9 Ogos 2021, LPKP Sabah menerima 4,627 senarai nama pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4,461 orang pemandu GRAB, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar.

“Daripada 4,627 senarai pemandu e-hailing yang diterima, hanya 3,908 orang yang layak menerima bantuan selepas memenuhi kritera yang ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021.

“Selain itu, pemandu juga perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Chin Kim berkata, semakan senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

“Selaku Pengerusi LPKP Sabah, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM3.24 juta yang diperuntukkan menerusi PEMERKASA Plus kepada golongan ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka.

“Adalah diharapkan agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.

“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|