Mayat ditemui terapung, tersangkut

Mayat ditemui terapung, tersangkut

Tuaran: Seorang remaja lelaki yang hilang ketika mandi bersama tiga rakannya di sungai Kampung Sekudung, Serusup, di sini, Jumaat lalu, ditemui meninggl dunia, hari ini.

Mayat Mohamad Amar Qayyum Rasmi, 15, ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan bakau kira-kira enam kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi memasuki hari ketiga bermula jam 6.30 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, mangsa dilaporkan ditemui orang awam pada jam 8.13 pagi sebelum memaklumkan kepada Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk tindakan segera.

“Pasukan bomba kemudian segera bergegas ke lokasi dengan memakai kelengkapan PPE untuk mengambil mayat mangsa.

“Sebaik berjaya dikeluarkan daripada kawasan bakau, mayat mangsa segera dibawa balik ke PKTK sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR kemudiannya ditamatkan jam 9.30 pagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu, mangsa Mohamad Amar Qayyum dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya.

Sebaik disedari hilang, rakan mangsa terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

Operasi pencarian kemudiannya terus dilancarkan namun terpaksa dua kali ditangguhkan ekoran keadaan cuaca gelap dan tidak mengizinkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|