PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi dalam kejadian di kawasan laut Singamata Resort di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 8 pagi itu, PPM yang sedang menjalankan rondaan terserempak sebuah bot laju dalam keadaan yang mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika menghampiri botlaju berkenaan, juragan bot bertindak melarikan diri dengan memecutkan ke kawasan perumahan atas air Kampung Batu.

Katanya, suspek terbabit kemudiannya bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri bagi mengelakkan diberkas pasukan polis.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan membwa kepada penemuan beberapa bungkus minyak masak dan satu jeriken berisi minyak petrol.

“Semua minyak masak itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammad berkata, nilai rampasan kali ini dianggarkan berjumlah RM22,480 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti untuk tindakan segera.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|