Ikhwan Sabah sokong Muhyiddin terus pimpin negara

Ikhwan Sabah sokong Muhyiddin terus pimpin negara

Kota Kinabalu: Pertubuhan Ikhwan Sabah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi tampuk kepemimpinan negara dalam memerangi pandemik Covid-19 yang dihadapi di seluruh negara.

Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Haris, berkata pihaknya percaya langkah dan tindakan Perdana Menteri yang diumumkan beliau kelmarin akan membawa kebaikan kepada negara.

Katanya, pertukaran pemimpin tidak akan membawa kepada kesejahteraan negara dalam keadaan negara yang sedang berperang dengan pandemik Covid-19, sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada kerjasama semua pemimpin.

“Melalui kerjasama bipartisan yang dicadangkan Perdana Menteri, sudah jelas membuktikan bahawasanya beliau sangat mementingkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara berbanding kepentingan dan kepuasan peribadi.

“Sekiranya cadangan ini diterima dengan hati terbuka oleh parti yang lain, maka agenda memulihkan negara akan lebih mampu mencapai titik persefahaman untuk menang dan sudah pasti langkah ini akan lebih proaktif bagi membendung Covid-19.

“Selain itu, Perdana Menteri juga mengambil langkah bijak dan sesuai dalam menjamin kestabilan politik negara melalui genjatan politik sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang telah dijanjikan selewat-lewatnya hujung Julai 2022.

“Perkara ini dapat menarik pemimpin untuk lebih fokus dalam memerangi Covid-19 berbanding perebutan kuasa politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hamdan berkata, Perdana Menteri juga membuktikan kematangan dengan membuka perundingan bersama pihak pembangkang yang menunjukkan kerajaan sedia berbincang mengenai penyelesaian kemelut politik danCovid-19 di negara ini.

“Bersempena bulan kemerdekaan yang disambut pada Ogos ini, marilah bersama-sama kita semai semangat bersatu padu dalam kalangan pemimpin dan rakyat agar kita dapat merealisasikan agenda ‘Bersama Memulihkan Negara’.

“Tanpa kesatuan dan persefahaman yang kuat dalam negara, maka sukarlah untuk kita membendung Covid-19 yang semakin menular ini. Ayuh kita bangkit bersama memerangi wabak ini, Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|