Berganding bahu bantu rakyat dan negara – KPS

Berganding bahu bantu rakyat dan negara – KPS

Kota Kinabalu: Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu berganding bahu dalam membantu rakyat dan negara mengekang pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS), Mohd Taufik Ismail berkata sehubungan itu, tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengenai keterbukaan kerajaan berbincang dengan pembangkang wajar dipertimbangkan.

Katanya, kerjasama bipartisan itu diharap dapat membawa negara lebih maju ke hadapan dan mencapai kemenangan bersama dalam mengharungi pandemik Covid-19.

“Pada masa kini, pertukaran kepemimpinan dan kerajaan sedia ada tidak akan menjamin kejayaan melawan pandemik ini, malahan ia akan merencatkan perancangan sedia ada terutama program vaksinasi dalam usaha kita untuk mencapai imunisasi kelompok.

“Semua pihak perlu memikirkan bagaimana cara untuk membantu rakyat dan cara memulihkan ekonomi rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya gencatan politik perlu dilaksanakan sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan negara ketika tempoh pandemik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|