Kontraktor, rakan ditahan bersama serbuk ecstasy

Kontraktor, rakan ditahan bersama serbuk ecstasy

Kota Kinabalu: Polis Kota Kinabalu menahan seorang kontraktor dan rakannya serta merampas 73.63 gram serbuk ecstasy yang disembunyikan di dalam beg duit dalam kejadian di Jalan Pintas Kopungit, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 40 tahun ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, ketika menjalankan tugas ‘Snap Check’ Ops Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika menjalankan Snap Check itu di Jalan Kopungit menghala ke Bulatan Masjid Negeri menahan sebuah kenderaan Toyota Fortuner dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan itu, menemui satu beg di ruang bahagian dashboard dan salah seorang suspek mengaku beg itu miliknya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg itu menemui satu paket plastik warna perak berisi dadah disyaki serbuk ecstasy.

“Semua barang kes dirampas dan kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine, Methamphetamine, ketamin, benzo.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti daripada mereka memperoleh bekalan dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|